Aspek budaya Epal

Paganisme Eropah Utara

"Brita as Iduna" (1901) oleh Carl Larsson

Dalam mitos Norse, dewi Iðunn digambarkan dalam prosa Snorra Edda (karya Snorri Sturluson abad ke-13) sebagai pembekal epal yang providing memberikan kemudaan abadi kepada dewa-dewi. Cendekiawan Inggeris, H. R. Ellis Davidson mengaitkan epal dengan amalan keagamaan dalam paganisme Jermanik yang melahirkan agama Norse. Beliau menunjukkan bahawa timba-timba berisi epal ditemui di tapak pengebumian kapal Oseberg di Norway, apalagi buah-buahan dan kekacang (Iðunn dikisahkan berubah menjadi kacang dalam Skáldskaparmál) yang ditemui dalam kubur lama orang Jermanik di England dan benua Eropah, mungkin membawa erti simbolik, dan kekacang masih merupakan lambang kesuburan yang pentinf di England barat daya.[10]

Davidson memerhatikan hubungan antara epal dan Vanir, puak dewa-dewi yang dikaitkan dengan kesuburan dalam mitos Norse, dengan memetik contoh kisah Skírnir (utusan Freyr, dewa Vanir utama) menggunakan sebelas biji "epal emas" untuk memikat Gerðr, seperti yang diperikan dalam stanza 19 dan 20 Skírnismál. Davidson juga memerhatikan lagi hubungan antara kesuburan dan epal dalam mitos Norse, dalam bab 2 saga Völsunga ketika dewi utama Frigg menghantar epal kepada Raja Rerir yang merayu kepada dewa Odin untuk seorang putera, utusan Frigg (yang berbentuk burung gagak) menjatuhkan epal itu pada ribanya ketika baginda duduk di atas anak bukit.[11] Setelah memakan epal itu, permaisuri Rerir hamil selama selama enam tahun lalu melahirkan seorang putera, iaitu wira bernama Völsung.[12]

Mitos Yunani

Heracles dengan epal Hesperides

Kisah epal terdapat dalam pelbagai tradisi keagamaan, baik sebagai benda mistik mahupun terlarang. Antara masalah yang dihadapi ketika mengenal pasti epal dalam keagamaan, mitos dan cerita rakyat, adalah bahawa perkataan "epal" digunakan sebagai istilah am untuk segala buah-buahan asing selain beri, tetapi termasuk kacang, selewat abad ke-17.[13] Contohnya, dalam mitos Yunani, sang wira Heracles dikehendaki ke Kebun Hesperides untuk memetik epal emas dari Pokok Kehidupan di tengah-tengah kebun itu sebagai satu daripada Dua Belas Tugasnya.[14][15][16]

Dewi perbalahan Yunani, Eris, menjadi kecewa setelah disisihkan dari upacara perkahwinan Peleus dan Thetis[17], lalu membalas dengan melontarkan epal emas yang terukir perkataan Καλλίστη (Kalliste, 'Untuk yang paling terjelita'), ke dalam majlis perkahwinan itu. Epal itu dituntut oleh tiga dewi, iaitu Hera, Athena, dan Aphrodite. Paris dari Troy dilantik untuk memilih penerimanya. Setelah disuap oleh Hera dan Athena, Aphrodite memikat Paris dengan wanita paling jelita di dunia, iaitu Helen dari Sparta. Paris mengurniakan epal itu kepada Aphrodite, maka secara tidak langsung mencetuskan Perang Trojan.

Justeru itu, di Yunani kuno, epal adalah buah suci dewi Aphrodite, maka tindakan membaling epal ke arah seseorang adalah melambangkan luahan cinta kepadanya; begitu juga, orang menyambut epal sebagai lambang penerimaan cinta.[18]

Atalanta, juga dari mitos Yunani, berlumba dengan kesemua pelamarnya dalam cubaan mengelakkan perkahwinan. Beliau mengatasi mereka semua kecuali Hippomenes (atau Melanion, nama yang mungkin berasal dari melon, iaitu perkataan Yunani yang bererti "epal" atau buah-buahan secara amnya),[15] yang menumpaskannya bukan kerana pantas tetapi dengan cara licik. Hippomenes sedar bahawa dirinya tidak boleh memenangi perlumbaan secara adil, jadi dia menggunakan tiga biji epal emas (kurniaan Aphrodite, dewi cinta) untuk mengalih perhatian Atalanta. Selepas berlari sepantas boleh sambil memanfaatkan ketiga-tiga epal itu, Hippomenes akhirnya berjaya memenangi perlumbaan dan hati Atalanta.[14]

Epal di Taman Firdaus

Walaupun tidak dipastikan buah khuldi dalam Kitab Genesis itu apa, namun ramai penganut Kristian percaya bahawa buah itu merupakan sebiji epal yang digunakan untuk Siti Hawa untuk memujuk Adam agar berkongsi dengannya.[19] Ini mungkin berpunca daripada para pelukis zaman Renaissance yang menokokkan unsur mitos Yunani dalam adegan injili (walaupun adakalanya epal digantikan oleh buah delima mengikut tafsiran pihak tertentu). Dalam hal ini, buah khuldi Firdaus menjadi epal kerana dipengaruhi kisah epal emas dari Kebun Hesperides. Justeru itu, dalam kisah Genesis ini, epal menjadi lambang pengetahuan, hidup abadi, godaan, kejatuhan manusia kerana dosa, dan dosa itu sendiri. Dalam bahasa Latin, perkataan untuk "epal" dan "kejahatan" adalah serupa dalam bentuk tunggal (malus—epal, malum—jahat), dan seiras dalam bentuk jamak (mala), dan mungkin ini juga yang mempengaruhi gagasan epal sebagai buah khuldi dalam kitab Injil.

Rujukan

WikiPedia: Epal http://www.foodscience.csiro.au/refrigerated.htm http://www.bestapples.com/facts/facts_controlled.s... http://www.bestapples.com/healthy/ http://www.calpoison.com/public/food.html#Ecoli http://www.foodsdatabase.com/LinkedLabel.aspx?Food... http://www.fruitgrowersnews.com/pages/2004/issue04... http://forums.gardenweb.com/forums/load/harvest/ms... http://books.google.com/?id=YvU1XnUVxFQC&lpg=PT39&... http://books.google.com/books?id=9KwPofkJTHYC&pg=P... http://books.google.com/books?id=ngAVBYuRyb8C&pg=P...